Persembahan muzik gambus di Malaysia banyak didapati dalam bentuk ensembel dan gambus
memainkan peranan utama. Keunikan gambus dalam ensembel-ensembel seperti kumpulan
gambus, kumpulan samrah, zapin, ghazal dan nasyid menjadikan gambus sebuah alat muzik
yang unik dan mewarnai persada muzik tanahair. Penulisan ini bertujuan membentangkan
hasil kajian khusus kepada tradisi persembahan kumpulan muzik gambus yang terdapat di
negeri Johor. Penulisan ini akan menumpukan kepada persiapan sesebuah kumpulan gambus
sebelum memulakan persembahan, ketika membuat persembahan dan selepas selesai
sesebuah persembahan. Untuk itu, penulisan ini akan memberi penerangan mengenai
tempahan persembahan, peralatan muzik yang digunakan, para pemuzik, penyanyi, latihanlatihan
yang dijalankan, pengangkutan, bayaran upah, jenis-jenis lagu, kostum dan tarian yang
terdapat pada sesebuah persembahan kumpulan gambus tersebut. Penulisan adalah dalam
bentuk deskriptif berdasarkan kajian lapangan. Penulisan ini hanya memberi fokus kepada
kumpulan gambus Nurulhilal dari Rengit, Batu Pahat, Johor. Penulisan ini diharapkan dapat
membantu pengkaji seterusnya dalam menggali pengetahuan dalam bidang muzik gambus
serta membantu pelestariannya.