Reka bentuk konsep sofa telah lama bertapak dalam industri pembuatan di Malaysia. Perkembangan ini selari dengan hasrat kerajaan yang mahu memperkasakan industri pembuatan perabot dalam menjana proses reka bentuk produk. Reka bentuk sofa yang sedia ada pada masa kini kebanyakannya tidak mengambil kira aspek ergonomik dan juga keperluan pengguna di Malaysia. Matlamat utama penyelidikan ini adalah untuk membangunkan sebuah reka bentuk konsep sofa ergonomik dengan pendekatan persepsi pengguna, pengeluar, dan pengedar di negeri Kelantan dengan mengenal pasti ciri-ciri ergonomik dan kaedah konseptual yang paling sesuai untuk diterapkan dalam proses pembangunan reka bentuk konsep sofa ergonomik. Kajian dilaksanakan melalui tinjauan berbentuk soalan kaji selidik yang mengandungi beberapa bahagian soalan berkaitan spesifikasi asas pembangunan reka bentuk konsep sofa ergonomik. Tinjauan soalan kaji selidik ini mengambil masa selama 6 bulan melibatkan 90 orang responden dari masyarakat setempat di negeri Kelantan. Responden tersebut dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu seramai 30 orang pengguna sofa, 30 orang wakil pengeluar sofa dan 30 orang wakil pengedar sofa. Data yang diperoleh dikumpul di pecahkan mengikut kumpulan dan peratusan skala kekerapan dianalisis dengan menggunakan perisian SPSS (Statistical Package for Social Science) versi 20. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pembangunan reka bentuk konseptual sofa sangat dipengaruhi dengan ciri-ciri ergonomik terutama pada bahagian keselesaan fizikal pengguna yang akan menjadikannya satu kelebihan yang sempurna berbanding dengan produk kerusi sofa yang sedia ada di pasaran. Dapatan kajian kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk spesifikasi atau penyata reka bentuk dalam membangunkan lakaran asas agar selari dengan konsep ergonomik dan kehendak pengguna, pengeluar dan pengedar. Kajian ini memberi satu impak yang sangat besar dalam pembangunan reka bentuk konseptual sofa, terutamanya dalam usaha untuk meningkatkan kualiti dan nilai tambah pembuatan industri perabot di Malaysia.