Projek penyelidikan ini merupakan satu kajian mengenai “Usaha
Meneruskan Keunikan Warisan PembuatanKeris di Pengkalan Nangka, Besut,
Terengganu”. Warisan pembuatan keris kini dilihat semakin berkurang kerana ramai
pandai besi yang sudah meninggal dunia. Perkara ini amat membimbangkan kerana tidak
ramai generasi muda yang menceburkan diri dalam meneruskan warisan ini. Objektif
kajian ini adalah untuk mengetahui proses-proses pembuatan keris di Pengkalan Nangka,
Besut yang dibuat oleh pandai besi yang bernama Mohd Rudi Bin Jusoh. Kajian ini juga
menekankan mengenai punca generasi muda tidak berminat untuk meneruskan warisan
pembuatan keris. Kaedah temubual dan pemerhatian telah digunakan untuk melengkapkan
kajian ini. Melalui kaedah tersebut, data yang diperolehi akan dianalisis dengan lebih
mendalam untuk menyelesaikan projek penyelidikan ini sehingga ke fasa yang terakhir.
Pada akhir kajian ini, kedua-dua objektif akan dapat dirungkaikan dan diharap dapat
membuka mata banyak pihak. Hal ini seterusnya dapat menghargai nilai warisan
pembuatan keris yang berharga ini untuk tatapan generasi akan datang.