Pembangunan pelancongan warisan merupakan salah satu daripada sumber pendapatan negara dan identiti negara. Kampung Teluk Gedung telah mengalami perubahan yang drastik dari segi penempatan serta corak kehidupan. Hasil pembangunan pelancongan warisan secara fizikalnya, menjadi sumbangan yang paling jelas adalah dengan membangunkan kawasan-kawasan yang sebelumnya tidak dikenali supaya menjadi terkenal dan dikunjungi ramai. Kajian ini memberi fokus kepada impak yang berlaku terhadap pembangunan pelancongan warisan terhadap komuniti setempat di Kampung Teluk Gedung, Pulau Pangkor. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti bentuk pembangunan pelancongan warisan yang berlaku terhadap komuniti setempat, mengenal pasti perubahan yang berlaku melalui aspek sosial dan ekonomi dalam komuniti setempat serta menganalisis langkah-langkah pembaharuan yang perlu dilakukan hasil daripada impak pembangunan pelancongan yang berlaku di Kampung Teluk Gedung, Pulau Pangkor. Kajian ini menggunakan pendekatan campuran iaitu pendekatan kuantitatif dan kualitatif yang melibatkan borang soal selidik dan temubual serta tinjauan yang melibatkan hubungan antara pengkaji dengan komuniti yang dikaji. Sampel kajian terdiri daripada borang soal selidik yang mendapat sebanyak 70 orang responden dan temubual yang melibatkan empat orang informan serta tinjauan dilakukan di tempat yang dikaji agar memastikan objektif kajian dapat tercapai. Secara keseluruhannya, dapatan kajian mendapati bahawa bentuk pembangunan pelancongan warisan yang berlaku adalah menerusi tapak warisan bersejarah dan perubahan perumahan nelayan. Manakala, bagi perubahan aspek dan ekonomi adalah menerusi pembangunan. Tambahan pula terdapat langkah-langkah yang akan diambil oleh penduduk setempat dalam menghadapi perubahan yang berlaku. Hasil daripada kajian, pengkaji telah mencadangkan beberapa cadangan yang sesuai dengan permasalahan kajian yang melibatkan kesedaran kepada kerajaan dan juga komuniti yang terlibat. Menerusi kajian ini, pengkaji dapat mensimpulkan bahawa tapak bersejarah berpotensi dalam memajukan kehidupan bagi sesebuah komuniti.