Batu Bersurat Cherok Tokun adalah megalit atau dikenali sebagai batu hidup yang
diukir atau dipahat dengan tulisan oleh manusia yang telah dijumpai oleh Lt. Col. James
Low iaitu pegawai tentera British pada sekitar tahun 1845 di kaki Bukit Cherok Tokun,
Bukit Mertajam, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Maka, kajian ini dilakukan
bertujuan untuk mengenalpasti sejarah kewujudan Batu Bersurat Cherok Tokun di Pulau
Pinang. Selain itu, kajian ini juga dilaksanakan bagi menghuraikan pengurusan warisan
dalam pemeliharaan dan pemuliharaan di Batu Bersurat Cherok Tokun, Pulau Pinang dan
menganalisis penglibatan masyarakat setempat dalam pemuliharaan Batu Bersurat
Cherok Tokun, Pulau Pinang menerusi Model A Ladder of Citizen Participation (Arnstein
1969). Kajian ini menggunakan metodologi kaedah gabungan iaitu kualitatif dan
kuantitatif dalam mendapatkan data bagi menyelesaikan permasalahan kajian dan
mencapai objektif kajian. Seramai 288 orang telah dipilih secara rawak sebagai responden
kajian ini. Hasil daripada keseluruhan kajian menunjukkan tahap penglibatan masyarakat
yang masih bersifat top-down iaitu penduduk komuniti hanya mengikut kehendak
perancangan dari pihak kerajaan sepenuhnya. Sehubungan itu, hasil analisis data juga
menunjukkan mengetahui kewujudan Batu Bersurat Cherok Tokun namun mereka tidak
menglibatkan diri dalam usaha pemuliharaan dan pemeliharaan warisan tersebut.