Penyelidikan ini merupakan satu kajian tentang penyesuai gunaan semula terhadap bangunan rumah kedai lama di Jalan Mendaling Kajang, Selangor. Pembangunan bandar yang semakin moden kini telah menyebabkan banyak rumah kedai lama ini dibiarkan, dirobohkan dan ada juga di antara bangunan rumah kedai lama ini telah diubah suai sehingga hilang nilai warisannya. Kajian ini juga memfokuskan kepada setiap objektif kajian yang merangkumi bentuk penyesuai gunaan semula yang dilakukan oleh pemilik bangunan rumah kedai lama di Jalan Mendaling Kajang ini, kerberkesanan teknik suai guna semula bangunan rumah kedai lama dalam melindungi warisan dan penambahbaikkan yang perlu dilakukan dalam memastikan bangunan ini terus dipelihara. Kajian ini juga berpandukan kepada teori pengurusan oleh Henri Fayol dan kaedah kajian yang digunakan adalah kajian campuran. Kaedah ini dilakukan dengan pemerhatian secara langsung di lokasi kajian dan menemu bual beberapa informan yang terdiri kepada pihak Majlis Perbandaran Kajang, pemilik premis dan masyarakat setempat. Selain itu, tinjauan dengan menggunakan borang soal selidik juga diberikan kepada 384 orang responden yang dipilih secara rawak. Oleh itu, diharapkan kajian ini dapat dijadikan sebagai panduan bagi teknik penyesuai gunaan semula bangunan rumah kedai lama dalam usaha memelihara dan memulihara bangunan rumah kedai lama ini pada masa hadapan.