Bagi memenuhi sukatan pelajaran akhir tahun bagi kursus Pengajian Warisan, satu kajian telah dilaksanakan mengenai ‘Kepentingan Pemuliharaan Koleksi di Muzium Sultan Abu Bakar dalam Kalangan Generasi Muda’. Bagi kajian ini, terdapat tiga objektif iaitu untuk mengenalpasti langkah-langkah yang digunakan dalam pengurusan koleksi muzium Sultan Abu Bakar, untuk mengetahui kaedah-kaedah yang digunakan dalam memulihara koleksi di muzium Sultan Abu Bakar dan untuk mengkaji sejauh mana tahap pengetahuan generasi muda berkaitan dengan pemuliharaan koleksi. Melalui kerjasama dengan muzium Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang, dapat dihuraikan mengenai langkah-langkah pengurusan koleksi, kaedah-kaedah pemuliharaan koleksi dan tahap pengetahuan generasi muda mengenai pemuliharaan koleksi. Metodologi yang digunakan dalam kajian ini memudahkan kajian untuk dilaksanakan. Akhir sekali melalui kajian ini sedikit sebanyak membantu membuka mata masyarakat terutamanya generasi muda mengenai bidang konservasi serta nilai sejarah dan warisan yang terdapat pada negara.