Taman Serendah Sekebun Bunga merupakan lokasi tinggalan sejarah Cik Siti Wan Kembang dan anak angkatnya, Puteri Saadong. Namun, tapak warisan ini hanya dikenali oleh penduduk sekitar dan segelintir penduduk tidak mengetahui mengenai kewujudan taman tersebut. Keadaan ini juga menyebabkan kawasan tersebut tidak diselenggara dengan baik dan mengalami pelbagai kerosakan. Kajian ini mempunyai tiga objektif utama iaitu mengenal pasti peranan Taman Serendah Sekebun Bunga Cerang Tegayong dalam kehidupan masyarakat setempat, mengkaji nilai warisan Taman Serendah Sekebun Bunga sebagai tapak warisan tidak rasmi berdasarkan persepsi penduduk setempat dan menganalisis penglibatan pihak berkepentingan terhadap pemuliharaan warisan tidak rasmi Taman Serendah Sekebun Bunga Cerang Tegayong. Pendekatan kaedah campuran melalui kajian kes dengan melibatkan seramai 280 orang responden yang menjawab survei dan sepuluh informan telah ditemu bual. Kaedah kajian yang diguna pakai adalah pemerhatian, temu bual dan tinjauan atau survei melalui borang soal selidik. Data-data kajian pula dianalisis dengan menggunakan analisis tematik dan analisis deskriptif. Hasil kajian mendapati bahawa Taman Serendah Sekebun Bunga berperanan penting kepada penduduk setempat apabila pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan. Melalui persepsi penduduk setempat, terdapat lapan nilai warisan yang disenaraikan. Penglibatan pihak berkepentingan juga penting dalam memastikan tapak warisan tidak rasmi ini dapat dilindungi dan dipelihara. Walau bagaimanapun, hakisan, banjir dan penyalahgunaan telah menjejaskan tapak warisan tidak rasmi ini. Oleh itu, kajian ini penting dalam memberikan maklumat dan pemahaman mengenai Taman Serendah Sekebun Bunga kepada pembaca serta menjadi rujukan untuk penyelidik baru.