Rumah Pura Tanjung Sabtu merupakan koleksi rumah tradisional Terengganu. Namun, ia tidak diselenggara dengan baik selepas kematian pemiliknya, Tengku Ismail Bin Tengku Su. Kesannya, rumah Pura Tanjung Sabtu terbiar dan tidak dipelihara dengan baik sehingga sebahagian rumah itu dicuri. Oleh itu, kajian ini mengenal pasti proses pemuliharaan untuk mengawal kerosakan di rumah Pura Tanjung Sabtu. Kajian ini mempunyai tiga objektif utama: untuk mengenal pasti persepsi masyarakat terhadap rumah Pura Tanjung Sabtu, mengkaji jenis kerosakan rumah Pura Tanjung Sabtu, dan menganalisis peranan pihak berkepentingan dalam memulihara rumah Pura Tanjung
Sabtu. Kajian ini menggunakan kaedah campuran dengan menemu bual tiga orang responden, membuat tinjauan terhadap 183 pihak berkepentingan berkaitan Pura Tanjung Sabtu dan membuat pemerhatian proses pemuliharaan di Pura Tanjung Sabtu. Kesemua data dianalisis melalui analisis tematik bagi analisis kualitatif dan analisis deskriptif bagi data kuantitatif. Hasilnya, kajian ini telah berjaya mengeluarkan lima tema yang berkaitan dengan kajian iaitu sejarah Pura Tanjung Sabtu, bentuk rumah di Pura Tanjung Sabtu, fungsi rumah Pura Tanjung Sabtu kepada penduduk setempat, punca-punca kerosakan, dan usaha yang dilakukan oleh pihak berkepentingan dalam memulihara dan memelihara rumah Pura Tanjung Sabtu. Kesimpulannya, kajian ini perlu untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang kepentingan rumah Pura Tanjung Sabtu, kerosakan dan proses pemuliharaan bagi melindungi dan memelihara kepentingan bangunan tempatan dan tradisional untuk generasi akan datang.