Kerjasama strategik Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Kolej RISDA dilihat mampu melahirkan graduan-graduan yang bukan sahaja mempunyai daya saing yang tinggi tetapi berpengalaman, berkemahiran dan berinovatif.
Menteri Kemajuan dan Pembangunan Wilayah Luar Bandar, Y.B. Dato’ Seri Hj. Mohd Shafie bin Haji Apdal, berkata menerusi kerjasama ini juga akan memperkukuhkan program keusahawanan serta pertanian di UMK dan Kolej RISDA.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMK dan Kolej RISDA yang disempurnakan oleh Naib Canselor UMK, Y.Bhg. Prof. Dr. Raduan Che Rose dan Pengarah Kolej RISDA, Y.Bhg. Dato’ Hj. Wan Mohamad Zuki bin Mohamad, di sebuah hotel, di Kuala Lumpur pada 12 Jun 2012.