UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) telah menandatangani perjanjian untuk menyertai Global Consortium Entrepreneurship Education (GCEE) yang di terajui oleh Babson College, USA pada 4 April 2013. UMK merupakan satu-satunya universiti awam negara yang telah diterima menjadi ahli dalam GCEE. Disamping itu Babson College yang merupakan institusi keusahawanan terunggul di dunia telah bersetuju untuk bekerjasama dalam memperkukuhkan program pendidikan keusahawanan di UMK. GCEE yang telah diasaskan oleh Babson College berpengkalan di Boston, Amerika Syarikat merupakan satu badan pakatan institusi yang komited kepada pendidikan dan penyelidikan keusahawanan. Konsortium ini berperanan sebagai pemacu pembangunan kurikulum keusahawanan, penghubung antara industri dan akademia dalam kerjasama antarabangsa, serta mewujudkan satu platform integrasi secara praktikal dalam pendidikan keusahawanan.