Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sekali lagi berjaya mencipta nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dengan kejayaan menganjurkan persembahan tarian 'menghadap rebab' terbesar, iaitu tarian simbolik kepada pembuka tirai persembahan tradisional makyong. Seramai 500 peserta mempersembahkan tarian menghadap rebab secara serentak itu bukan sahaja diiktiraf sebagai penyertaan teramai malah berjaya memahat nama UMK dalam MBOR selaku Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pertama mengadakan persembahan tersebut. Persembahan julung kali itu menggabungkan penari makyong bukan profesional yang terdiri daripada 300 pelajar UMK; 150 pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab (1), SK Zainab (2), SK Penambang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra (SMIP) serta 50 lagi dari Pertubuhan Jalinan Anak Seni Teater, Tari dan Sastera (KASTERA).