Budaya, nilai dan norma adalah kayu ukur fitrah ketertinggian personaliti manusia. Tidak memiliki nilai teras norma tinggi boleh dikategorikan rendah jatidiri dan hidup beragama. Begitu juga tahap penyelesaian konflik etnik ditentukan dengan sejauhmana ketinggian norma kehidupan masyarakat bernegara. Justeru, artikel ini berusaha mengetengahkan teras norma ‘Hormat’ beserta model idea yang diyakini sebagai aset utama integrasi, penyatuan etnik dan negara. Teras norma hormat perlu diinstitusikan dalam masyarakat agar mampu menjadi pengupaya dalam menyelesaikan konflik etnik. Rangka idea ini cuba mengangkat hak manusia sejagat dalam usaha mengharmonikan kehidupan bermasyarakat atau sekurang-kurangnya mampu memantapkan idea sedia ada dan idea baru yang lebih mesra dan berkesan.