Pembangunan Modal Insan adalah teras Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9). Modal Insan dikaitkan dengan konsep mewujud dan menyediakan sumber manusia yang memberi impak kepada pembangunan sesebuah organisasi. Insan dianggap sebagai aset penting, kerana tahap kejayaan dan impak kepada kemajuan sesuatu organisasi bergantung kepada mutu sumber manusia yang dimiliki. Antara mutu yang berimpak tinggi ialah kesanggupan menyumbang kepada kejayaan organisasi, keupayaan minda yang tinggi dan keperibadian yang baik. Modal adalah melibatkan keupayaan intelektual seseorang itu untuk berkreatif dan berinovasi yang memungkinkannya mendahului dalam apa bentuk persaingan. Oleh itu, setiap individu harus dilengkapi dengan ilmu pengetahuan yang bersesuaian agar dapat membuat keputusan dengan bijak, selari dengan konsep penjanaan ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan. Sistem pendidikan berstrategi dalam proses membina manusia mampu menjadi tunjang kepada proses pembinaan keupayaan seseorang menyesuaikan diri dengan segala cabaran. Atas maksud tersebut. Blueprint Pendidikan Kebangsaan (2006 – 2010) dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Menjelang 2020 telah meletakkan konsep pembangunan modal insan yang berpengetahuan tinggi, berkemahiran dan menghayati nilai-nilai sejagat sebagai teras yang perlu dijayakan.