Konsep dan makna nilai kesederhanaan seringkali digunakan oleh pelbagai pihak menurut konteks kefahaman, situasi dan keperluan diri atau kelompok tertentu yang belum tentu memancarkan maknanya yang asal. Justeru, penggunaannya sering dieksploitasi yang menyebabkan maknanya menjadi kacau dan keliru. Setiapnya mendakwa inilah makna kesederhanaan sebenar yang dicari-cari sementara selain daripadanya adalah ekstrim atau melampau. Lantaran konsep dan nilai ksederhanaan terpakai dalam pelbagai wilayah kehidupan meliputi aspek sosial, politik, ekonomi dan agama, perjernihan semula maknanya adalah sesuatu yang amat diperlukan dan signifikan. Penulisan ini hanya menyorot satu aspek sahaja sebagai contohan iaitu ekonomi yang menjurus kepada aspek pencarian dan perbelanjaan harta. Rumusan menunjukkan bahawa kesederhanaan adalah keseimbangan dan jalan pertengahan dengan memberikan setiap perkara akan haknya dengan kadar yang paling wajar. Kesederhanaan tidak hanya ditentukan oleh wasilah atau bentuk luaran seperti kuantiti dan bentuk harta bahkan hakikatnya banyak ditentukan oleh faktor niat dan tujuan. Meskipun warna zahir sederhana itu mungkin berlainan dan beragam menurut tahap keilmuan, kerohanian, bebanan tanggungjawab yang dipikul dan kesanggupan serta keperluan konteks yang berbeza-beza, namun intipati maknanya tetap sama dan utuh