Negeri Kelantan terkenal sebagai sebuah negeri yang kaya dengan keunikan budaya, keenakan
makanan tradisional dan keramahan para penduduknya. Kelantan adalah sebuah negeri yang
agak konservatif dan terpinggir daripada segi pembangunan fizikal dan ekonominya. Namun
begitu, Kelantan terkenal dengan jolokan Serambi Mekah iaitu kebanyakan masyarakatnya
menitikberatkan pembudayaan agama Islam dalam amalan kehidupan harian. Antara strategi
yang dirancang oleh kerajaan negeri bagi membangunkan Kelantan sebagai sebuah negeri yang
membangun bersama Islam ialah dengan menjadikan Kota Bharu sebagai bandaraya Islam.
Justeru, berdasarkan kajian yang sedang dibuat (research in progress), kertas kerja ini
menerangkan proses penjenamaan bandar Kota Bharu sebagai bandaraya Islam dan implikasinya
daripada segi ekonomi dan sahsiah penduduk sekitarnya. Kertas kerja ini juga mengenal pasti
faedah-faedah yang diperolehi oleh penduduk melalui proses penjenamaan ini dan kerajaan
negeri daripada segi pembangunan ekonomi komuniti setempat terutamanya dalam
membangunkan sektor pelancongan negeri. Ia turut melaporkan persepsi penduduk sekitar Kota
Bharu mengenai konsep bandaraya Islam yang diketengahkan oleh kerajaan negeri daripada segi
pemahaman dan kebaikan konsep bandaraya Islam terhadap komuniti. Kaedah kajian yang
digunakan ialah temu bual mendalam semi berstruktur. Untuk kajian ini, penulis telah menemu
bual penduduk di sekitar Kota Bahru dengan berpandukan beberapa soalan yang berkaitan. Hasil
kajian setakat ini menunjukkan majoriti responden masih kurang jelas dengan konsep bandaraya
Islam dan faedah-faedah yang diperolehi melalui proses penjenamaan ini.