Penyelidikan ini dibuat bagi membangunkan sebuah video dokumentari wayang kulit Kelantan.Tujuannya adalah untuk mewujudkan sebuah video dokumentari yang mampu dijadikan bahan rujukan kepada pelajar-pelajar serta dapat memelihara wayang kulit daripada terus menyepi.Sememangnya penerbitan rancangan dokumentari di Malaysia berada di tahap sederhana di mana masih kurang lagi video dokumentari yang memaparkan berkenaan seni warisan kita.Dengan terbitnya video dokumentari ini diharap dapat menyumbang terhadap usaha kerajaan dalam memelihara warisan negara.Dokumentari wayang kulit terbahagi kepada beberapa segmen yang setiap daripada satunya menyingkap dan juga menceritakan perihal berkenaan wayang kulit daripada pembuatan hinggalah kepada pantang larang dalam permainan.Ianya bakal memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kesenian wayang kulit yang selama ini kurang mendapat perhatian daripada orang ramai,pastinya ada segelintir yang tidak memahami dan menganggap bahawa kesenian wayang kulit tidak penting dalam hidup mereka.Orang zaman dulu belajar mengenal alam dan juga belajar mengenal tuhan berdasarkan persembahan wayang kulit,walaupun ilmu yang disampaikan sedikit dan tidak begitu mendalam seperti yang diajarkan di surau atau di kelas-kelas agama,namun ianya memadai dalam memberi sumber maklumat dan juga pengajaran kepada anak-anak dan juga para ibu bapa.Dengan terhasilnya video dokumentari,maka diharapkan dokumentari ini mampu memupuk kesedaran dikalanagn penonton agar lebih prihatin kepada warisan budaya kita dan tidak membiarkannya terus pupus ditelan arus zaman.Walaupun dokumentari ini tidak menggunakan peralatan penggambaran yang canggih,namun sudah cukup untuk memberi pendedahan awal kepada generasi muda pada masa kini.Sebagai pengarah video dokumentari ini saya berharap agar dokumentari ini mampu membawa perubahan kepada pemikiran rakyat Malaysia agar lebih peka kepada seni budaya negara kita dan menjadikannya sebagai salah satu kebanggaan rakyat negara ini.