Masyarakat Melayu sangat kaya dengan pengetahuan yang meliputi pelbagai jenis disiplin ilmu. Antara bidang yang menarik perhatian umum ialah ilmu yang berkaitan dengan perubatan tradisional yang dirakamkan dalam bentuk tulisan jawi. Rakaman tersebut memperlihatkan kekuatan minda sesuatu masyarakat yang tergambar secara halus dan memberi sumbangan yang besar dalam kehidupan masyarakat Melayu khususnya. Secara tidak langsung ianya menjadi suatu kemahiran yang dapat digunakan sebagai rujukan ilmiah dan sumber yang perlu dihargai oleh generasi akan datang. Sejajar dengan hal itu, ilmu perubatan tradisional sebenarnya mencerminkan kecerdasan minda masyarakat Melayu yang terakam secara indah dan halus dalam teks-teks bertulisan jawi. Ia melambangkan intelektualisme masyarakat Melayu, lambing budaya, kesatuan antara manusia, alam dan pencipta dan penuh dengan makna tersirat. Ilmu ini merupakan warisan yang perlu di pelihara dan menjadi sumber pengetahuan untuk generasi akan datang.