Bagi memenuhi keperluan sukatan tahun akhir kursus Pengajian Warisan, suatu kajian telah dijalankan iaitu konservasi manuskrip menggunakan kaedah penggantian tisu
basah. Kajian ini dijalankan bersandarkan tiga objektif utama iaitu dari segi pengurusan konservasi, jenis dan faktor kerosakan manuskrip dan proses konservasi manuskrip menggunakan kaedah penggantian tisu basah. Pengurusan konservasi meliputi proses pemeliharaan manuskrip secara berkesan dan berterusan. Kajian ini turut menghuraikan jenis dan faktor kerosakan yang berlaku pada manuskrip. Seterusnya, proses konservasi manuskrip menggunakan kaedah penggantian tisu basah
dijelaskan secara terperinci dalam kajian ini. Kerosakan yang sering berlaku terhadap manuskrip mempunyai beberapa faktor dan penyelesaian kepada faktor tersebut turut
dijelaskan dalam kajian ini. Metodologi kajian yang digunakan oleh pengkaji juga dapat membantu proses mendapatkan maklumat mengenai konservasi manuskrip. Kajian ini turut menjelaskan keperluan sesuatu tempat penyimpanan dan spesifikasi yang diperlukan bagi mengekalkan jangka hayat dan ketahanan sesuatu manuskrip.
Peralatan khas turut digunakan bagi memelihara dan melindungi koleksi manuskrip untuk tempoh masa yang lama. Konservasi manuskrip merupakan suatu bidang yang meluas namun bidang ini masih belum didedahkan kepada umum. Kajian ini bertujuan untuk memberi maklumat yang berkesan kepada pembaca agar golongan ini dapat memahami dengan lebih jelas mengenai konservasi manuskrip menggunakan kaedah penggantian tisu basah.