Kajian ini merupakan satu penyelidikan tentang wadah pemikiran dan konsep kepercayaan dalam sastera lisan bagi masyarakat Orang Asli Jah Hut. Kajian megemukakan tiga objektif utama iaitu mengenal pasti sastera lisan masyarakat Orang Asli Jah Hut di Temerloh Pahang. Seterusnya, menganalisis kepentingan sastera lisan Orang Asli Jah Hut di Temerloh Pahang. Selain itu, mengkaji kepentingan sastera lisan terhadap generasi muda Orang Asli di Temerloh Pahang. Kajian menggunakan pendekatan teori Budaya kerana teori ini berdekatan dengan masyarakat. Kajian memberi fokus kepada sastera lisan iaitu cerita rakyat. Hasil kajian mendapati sastera lisan masyarakat Orang Asli Jah Hut terdiri daripada tiga jenis cerita utama iaitu cerita bintang, cerita asal usul dan cerita jenaka. Kepentingan sastera lisan masyarakat orang Asli Jah Hut adalah sebagai sumber pendidikan dan hiburan. Sastera lisan banyak memberikan manfaat kepada generasi muda misalnya dalam membentuk tingkah laku yang lebih baik dan keperibadian yang positif. Dapatan kajian mencadangkan agar lebih banyak kajian dijalankan berkaitan sastera lisan masyarakat orang asli ini. Hal ini kerana sastera lisan merupakan warisan dan khazanah turun temurun sejak dulu yang perlu dipertahankan.