Penyelidikan dan kajian ini adalah bertujuan untuk mencari kaedah dan cara untuk memahami dengan lebih mudah dan mendalam mengenai adat meminang di Negeri Sembilan. Adat Perpatih merupakan satu adat di Malaysia yang diajar dan dimasukkan di dalam pembelajaran sejarah di sekolah menengah selain Adat Temenggung. Setiap masyarakat terutamanya anak jati Negeri Sembilan itu sendiri perlu mengambil tahu mengenai Adat Perpatih kerana adat ini merupakan adat yang diturunkan dan diamalkan sejak dahulu lagi oleh masyarakat Negeri Sembilan. Tambahan pula, adat ini semakin mula dilupakan dan tidak diamalkan oleh masyarakat terutamanya golongan muda. Selain itu, penggunaan kaedah medium 2 dimensi (2D) ini juga adalah satu cara untuk menarik minat masyarakat untuk mengetahui dan lebih mengenali berkaitan adat di Negeri Sembilan iaitu Adat Perpatih kerana ianya dalam bentuk visual. Oleh itu, dengan terhasilnya animasi dua dimensi (2D) ini, diharapkan agar ianya menjadi sumber rujukan kepada masyarakat untuk mendapatkan informasi yang sahih dan betul dan semoga ianya dapat mengubah persepsi dan tanggapan yang salah masyarakat terhadap Adat Perpatih selama ini.