Projek penyelidikan ini adalah satu kajian berkaitan dengan Pengaplikasian Motif Bunga Mawar dengan menggunakan Teknik Sulaman Woven Wheel Stitch Pada Produk Aksesori. Dalam kajian ini, pengkaji lebih memfokuskan kepada penghasilan rekaan sulaman yang diinspirasikan daripada motif flora. Bunga mawar merupakan motif yang dipilih dan dikaji oleh pengkaji dalam penyelidikan yang dijalankan. Sulaman dalam kalangan masyarakat melayu, Indonesia dan negara luar tidak asing lagi. Namun, penghasilan produk aksesori yang mempunyai rekaan sulaman yang bermotifkan bunga mawar kurang diketengahkan. Bunga mawar adalah bunga yang sangat terkenal dengan tanda kasih sayang dan rasa hormat. Objektif kajian ini adalah untuk mengetahui motif bunga mawar ini sesuai digunakan dalam penghasilan rekaan sulaman pada produk aksesori. Selain itu, mengenalpasti prosespenghasilan rekaan motif bunga mawar dengan menggunakan teknik sulaman woven wheel stitch dan menghasilkan produk aksesori totebag. Lokasi yang dijalankan adalah di Jeli, Kelantan. Kajian yang dijalankan ini adalah berbentuk kualitatif yang terdiri daripada sumber primer iaitu pemerhatian dan sumber sekunder iaitu dengan membuat rujukan internet, majalah, jurnal dan buku. Oleh itu, diharap penyelidikan ini boleh dijadikan panduan dan memberi idea kepada pengeluar produk aksesori untuk menghasilkan motif bunga mawar dalam penghasilan rekaan sulaman pada produk aksesori totebag di Kelantan.