Kajian ini dilakukan kerana pengkaji mendapati bahawa Novel Suriati sememangnya kaya dengan unsur alam semula jadi yang dapat memberi pengajaran dan ilmu pengetahuan kepada khalayak pembaca. Seterusnya, objektif kajian ini dijalankan untuk mengenalpasti, dan menganalisis unsur alam dalam Novel Suriati menggunakan Teori Ekologi. Tambahan pula, kajian ini membataskan hanya sebuah novel sahaja iaitu Novel Suriati karya Azizi Hj. Abdullah, sememangnya novel ini kurang diminati dalam kalangan pembaca remaja kerana mereka lebih obses kepada novel yang berkisarkan cinta berbanding novel fiksyen. Jadinya, dengan adanya kajian ini akan membuka minda golongan remaja untuk membacanya. Di samping itu, pengkaji menggunakan kaedah kajian kualitatif yang dipilih sebagai kerangka panduan untuk menyempurnakan kajian ini. Dalam kajian ini, penerapan Teori Ekologi yang diilhamkan oleh William Howarth pada tahun 1994 dipilih sebagai gagasan bagi mengukuhkan lagi analisis kajian tersebut. Penelitian dan penghuraian terhadap beberapa aspek yang merangkumi prinsip ekologi, prinsip etika, prinsip bahasa, dan prinsip kritikan dilaksanakan sebagai deduksi dalam pendekatan kajian. Dapatan menunjukkan bahawa dalam Novel Suriati karya Azizi Hj. Abdullah mengandungi unsur-unsur alam yang dapat memberikan kefahaman dan penghayatan kepada pembaca tentang unsur-unsur alam yang terdapat dalam Novel Suriati, seterusnya menjadi wadah untuk membentuk norma yang baik terhadap khalayaknya.