Penyelidikan bertajuk Memperkasakan Tulisan Jawi dalam Bidang Pengiklanan Kreatif yang dijalankan bertujuan untuk mengangkat martabat tulisan Jawi dalam kalangan generasi muda dan mendorong mereka supaya lebih berani untuk memulakan perniagaan periklanan kreatif walaupun terdapat banyak persaingan. Tajuk kajian kes ini dipilih adalah berdasarkan perkembangan dunia moden kini yang bergerak secara drastik dalam kebanyakan bidang termasuklah bidang pengiklanan kreatif. Era globalisasi ini telah mempamerkan dunia pengiklanan kreatif sedang giat menjadi kegilaan para usahawan muda untuk bersaing dalam perniagaan yang berbentuk pengiklanan seperti pencetakan baju, tudung, pelekat, logo, barang-barang cenderahati, dan lain-lain lagi. Kini, dunia perniagaan yang berteraskan pengiklanan ibarat cendawan tumbuh selepas hujan kerana sesiapa sahaja boleh dan mampu memulakan perniagaan tersebut dengan adanya pengetahuan tentang bidang pengiklanan serta kemahiran menggunakan perisian-perisian komputer seperti Adobe Photoshop dan Adobe Illustrator untuk menghasilkan rekabentuk iklan kreatif. Dengan adanya kajian ini, diharapkan masyarakat akan lebih berpandangan jauh ke hadapan untuk memperkembangkan penggunaan tulisan Jawi dalam bidang pengiklanan kreatif di Malaysia.