Kajian ini bertujuan meneroka sejarah dan perkembangan makanan tradisional Nasi Kebuli serta menganalisis penglibatan komuniti Kuala Lipis, Pahang berkaitan kepentingan dan langkah pemuliharaan makanan tradisional Nasi Kebuli. Selain itu, objektif kajian ini adalah untuk mencadangkan langkah pemeliharaan makanan tradisional Nasi Kebuli dalam kalangan generasi kini. Kaedah kajian yang digunakan ialah kaedah kuantitatif iaitu soal selidik dan kaedah kualitatif iaitu kajian kepustakaan. Penglibatan komuniti Kuala Lipis dalam pemuliharaan makanan tradisional Nasi Kebuli dikaji dengan menggunakan Teori Fungsionalisme. Hasil dapatan kajian yang dianalisis menunjukkan responden kurang pengetahuan tentang makanan tradisional Nasi Kebuli dari segi sejarah dan kemahiran penyediaan Nasi Kebuli secara tradisional. Penerimaan responden terhadap makanan tradisional Nasi Kebuli adalah ditahap baik dan memuaskan. Namun begitu, faktor teknologi menyebabkan makanan tradisional Nasi Kebuli kurang mendapat sambutan dalam kalangan generasi kini. Oleh itu, langkah terbaik dan berkesan untuk memelihara makanan tradisional Nasi Kebuli adalah melalui sektor pelancongan bagi menggalakkan generasi kini untuk mengenali dan merasai makanan tradisional Nasi Kebuli dalam kehidupan seharian.