Tarian Dabus merupakan salah satu seni persembahan tradisional yang terkenal di negeri Perak. Tarian Dabus ialah tarian kepahlawanan kerana di mana para penari
mencucuk lengan mereka dengan anak Dabus (senjata tajam) sehingga berdarah. Bagaimanapun, pandemik Covid-19 telah menjejaskan tarian Dabus untuk dipersembahkan di khalayak ramai, sekali gus mengurangkan minat golongan muda
untuk menyertainya. Dalam erti kata lain, kajian ini memfokuskan kepada penglibatan golongan muda dalam tarian Dabus dan perubahan pengurusan tarian Dabus di Kampong Gajah, Perak. Terdapat tiga objektif kajian : mengenalpasti faktor yang membawa kepada penglibatan golongan muda dalam tarian Dabus, menilai implikasi pandemik Covid-19 terhadap penglibatan golongan muda, dan mengkaji mekanisma
relevan dalam mengekalkan tarian Dabus. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif di mana sepuluh orang peserta kajian telah ditemu bual, dan aktiviti mereka
diperhatikan. Semua data yang diperoleh daripada kerja kerja lapangan dianalisis dengan analisis tematik. Hasilnya, kajian ini mendapati bahawa tarian Dabus terjejas sedikit oleh wabak tersebut di mana semua aktiviti fizikal dihentikan buat sementara waktu, dan mereka tidak dapat menghadiri aktiviti latihan mereka. Walaubagaimanapun,
beberapa mekanisma yang relevan telah diterima pakai dalam mengekalkan tarian Dabus untuk memastikan kesinambungannya, seperti mengalihkan amalan dan latihan tarian Dabus dalam talian dan mempromosikan tarian Dabus melalui media sosial.
Kesimpulannya, kajian ini adalah signifikan kerana ia boleh menjadi rujukan masa hadapan dan memberikan pemahaman yang mendalam tentang tarian Dabus itu sendiri.