Cerita rakyat adalah sebahagian daripada naratif lisan yang diturunkan dari generasi ke generasi melalui tradisi lisan. Cerita rakyat sememangnya memaparkan banyak nilai murni yang memberikan teladan kepada masyarakat. Namun unsur budaya juga perlu diberi perhatian kerana ia turut menyumbang kepada perkembangan jati diri individu. Oleh itu, kajian ini dijalankan bagi mengkaji dan menganalisis unsur budaya dalam teks Seuntaian Naratif Lisan di Lembangan Sungai Pengkalan Datu, Kelantan. Kajian ini membataskan kepada 20 buah cerita rakyat yang dipilih daripada cerita tokoh dan cerita binatang menerusi teks Seuntaian Naratif Lisan Di Lembangan
Sungai Pengkalan Datu, Kelantan. Sepanjang proses pengkajian ini, pengkaji menggunakan kaedah kualitatif menerusi kaedah kepustakaan dan rujukan teks. Selain itu, Teori Pengkaedahan Melayu melalui pendekatan moral, pendekatan dakwah dan pendekatan kemasyarakatan dijadikan sebagai deduktif kajian untuk memantapkan analisis kajian. Dapatan kajian membuktikan bahawa cerita rakyat yang terkandung dalam teks Seuntaian Naratif Lisan Di Lembangan Sungai Pengkalan Datu, Kelantan mempunyai pelbagai unsur budaya yang dapat memberi pengajaran dan membentuk keperibadian masyarakat sehingga menghasilkan jati diri yang cemerlang.
Kata kunci: Cerita Rakyat, Unsur Budaya, Teori Pengkaedahan Melayu, Teks Seuntaian Naratif Lisan Di Lembangan Sungai Pengkalan Datu, Kelantan.