Kajian ini bertujuan meneroka sejarah pembinaan dan fungsi Istana Balai Besar Alor Setar serta menganalisis penglibatan pihak bertanggungjawab dalam pengurusan warisan bagi memelihara dan memulihara Istana Balai Besar, Alor Setar. Kaedah kajian yang digunakan dalam kajian ini ialah kaedah kualitatif iaitu temubual dan kajian kepustakaan. Penglibatan pihak bertanggungjawab dalam pengurusan warisan bagi memelihara dan memulihara Istana Balai Besar, Alor Setar ditinjau dengan menggunakan teori Fungsionalisme oleh Talcott Parsons 1937. Hasil dapatan kajian melalui temubual yang dianalisis menunjukkan majoriti responden mempunyai pengetahuan tentang sejarah pembinaan dan fungsi Istana Balai Besar Alor Setar. Penglibatan responden di dalam pengurusan Istana Balai Besar adalah ditahap baik dan memuaskan. Namun begitu, faktor keizinan pihak kerajaan negeri menyebabkan aktiviti pengurusan yang dilakukan terbatas. Oleh itu, aktiviti pengurusan terbaik yang dapat dilakukan oleh pihak responden adalah melalui penyebaran maklumat berkaitan Istana Balai Besar Alor Setar kepada orang awam.