Cerita asal usul adalah cerita rakyat paling tua dalam masyarakat Melayu. Selain itu, cerita asal usul menceritakan tentang asal kejadian alam semesta, haiwan serta sesuatu tempat. Berdasarkan sorotan kajian lepas tentang nilai budi, masih terdapat kelompongan daripada pengkaji lepas terhadap nilai budi melalui teks Seuntaian Naratif Lisan Di Lembangan Sungai Pengkalan Datu, Kelantan. Oleh itu, objektif utama penyelidikan ini dijalankan adalah bagi mengenalpasti dan menganalisis nilai budi yang terdapat dalam cerita asal usul berdasarkan teks Seuntaian Naratif Lisan Di Lembangan Sungai Pengkalan Datu, Kelantan. Bahan kajian yang digunakan dalam kajian ini adalah terdiri daripada 20 cerita asal usul antaranya adalah Asal Usul Datu, Musibah Di Kampung Pulau Gajah, Tenggelamnya Masjid Pengkalan Datu, Simbolik Rebana serta Pokok Tanjung Dan Alat Muzik Yang Bisu. Pengkaji telah menggunakan kaedah kualitatif dan mengaplikasikan Teori Pengkaedahan Melayu yang diperkenalkan oleh Hashim Awang (1989). Bagi mengukuhkah kajian ini, pengkaji hanya menggunakan tiga pendekatan daripada Teori Pengkaedahan Melayu iaitu pendekatan moral, pendekatan kemasyarakatan dan pendekatan dakwah. Hasil daripada kajian ini, pengkaji telah menemukan beberapa nilai budi seperti nilai baik hati, nilai berdikari, nilai hemah tinggi, nilai hormat-menghormati, nilai kasih sayang, nilai keadilan, nilai keberanian, nilai kerajinan, nilai kerjasama dan nilai kesyukuran. Oleh itu, nilai- nilai budi yang terkandung dalam cerita asal usul dapat mambantu dalam membentuk akhlak dan keperibadian dalam kalangan masyarakat Melayu serta mewujudkan kehidupan yang aman dan sejahtera.