Projek Penyelidikan ini adalah salah satu usaha untuk memperkenalkan warisan budaya masyarakat Rungus dan mengenalpasti adat dan pantang larang kematian dalam masyarakat Rungus di Kampung Bavanggazo, Kudat, Sabah. Seperti yang kita ketahui, kematian merupakan perkara yang pasti dan semua manusia pasti akan merasai kematian suatu hari nanti. Oleh itu, adat dan pantang larang amat penting untuk diketahui kerana ia telah menjadi panduan dan peraturan dalam pengurusan jenazah seperti dalam masyarakat Rungus mereka amat mementingkan adat-adat dan pantang larang dalam kehidupan kerana bagi mereka adat-adat tersebut dapat membantu mereka dalam interaksi sosial dan kehidupan. Terdapat beberapa adat dan pantang larang kematian yang diamalkan oleh masyarakat Rungus. Selain itu, terdapat juga beberapa proses upacara pengebumian yang dilakukan oleh masyarakat Rungus di Kampung Bavanggazo. Masyarakat Rungus telah melalui perubahan dalam adat kematian yang diamalkan oleh mereka akibat daripada perubahan zaman dan teknologi dunia yang semakin canggih. Selain itu, pengaruh agama Kristian juga telah menyebabkan adat dan pantang larang kematian dalam masyarakat Rungus berubah. Oleh itu, adat dan pantang larang kematian yang telah diamalkan oleh masyarakat Rungus telah membantu mereka untuk mewujudkan keharmonian dan kesepakatan dalam kehidupan.