Citation
Arham Abdullah (2026) Lentera Hikmah Naib Canselor #55: UMK30 Teras 6 : Kewangan – Kemampanan kewangan melalui pengurusan kewangan strategik. [Corporate Memory] |
Abstract
UMK30 Teras 6 : Kewangan – Kemampanan kewangan melalui pengurusan kewangan strategik Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam UMK4U, 1 Hati 1 Jiwa. Universiti Malaysia Kelantan (UMK) merupakan universiti paling muda dalam kalangan 20 universiti awam di Malaysia yang bermula daripada tiga buah deretan rumah kedai kosong tanpa prasarana lengkap sebagai sebuah universiti awam. Namun dalam tempoh dua dekad ini, walaupun berdepan kekangan sumber, UMK terus berkembang melalui tekad, kesungguhan dan pendekatan yang lebih strategik, cekap serta berfokus dalam memanfaatkan setiap peluang bagi memperkukuh kedudukan institusi setanding universiti awam yang lebih senior. Seiring dengan aspirasi tersebut, menerusi Pelan UMK30 telah memberi penekanan kepada Teras 6 iaitu Kewangan yang memfokuskan kepada kemampanan kewangan melalui pengurusan kewangan strategik, berasaskan tadbir urus sumber yang telus, berhemah dan berintegriti bagi menyokong pertumbuhan institusi, memperkukuh inovasi serta menyumbang nilai signifikan kepada masyarakat. Pelaksanaan teras ini diterajui oleh Bendahari Universiti dengan sokongan semua pusat tanggungjawab bagi memastikan setiap keputusan kewangan dilaksanakan secara cekap, telus dan selari dengan hala tuju strategik universiti. Penekanan terhadap kelestarian kewangan dalam UMK30 juga selari dengan pendekatan yang telah digariskan dalam Rancangan Pembangunan Transformasi UMK (RPTM). Dalam RPTM, aspek ini turut diberi perhatian melalui usaha mempergiatkan penjanaan sumber pendapatan universiti serta memantapkan tadbir urus dan kecekapan pengurusan kewangan. Keselarasan ini memastikan agenda pembangunan universiti bergerak dalam satu hala tuju yang jelas dan tersusun. Melalui OS11 yang Mempergiatkan Penjanaan Sumber Pendapatan Universiti Secara Mampan Melalui Pelbagai Inisiatif, universiti memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keupayaan universiti menjana pendapatan sendiri. Penekanan ini mengambil kira realiti bahawa sumber kewangan universiti tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan semata-mata. Dalam landskap pendidikan tinggi masa kini yang semakin kompetitif, universiti perlu memperkukuh keupayaan menjana sumber pendapatan sendiri. Saya yakin, sudah tentu UMK tidak mahu ketinggalan dan sentiasa komited memperkukuh usaha mempelbagaikan sumber pendapatan bagi memastikan kelangsungan pertumbuhan institusi serta keupayaan universiti untuk terus memberi nilai kepada masyarakat dan negara. Bagi UMK, keperluan ini menjadi lebih signifikan memandangkan universiti masih berada dalam fasa pembangunan dan perlu terus memperkukuh prasarana, program akademik serta keupayaan penyelidikan. Oleh itu, sasaran peningkatan peratusan penjanaan pendapatan sendiri berbanding perbelanjaan operasi universiti ditetapkan secara berperingkat daripada 30% pada tahun 2026, meningkat kepada 33% pada tahun 2027, 36% pada tahun 2028, 38% pada tahun 2029, dan seterusnya 40% menjelang tahun 2030. Pendekatan berperingkat ini memberi ruang kepada universiti untuk membina ekosistem penjanaan pendapatan yang lebih kukuh dan mampan. Usaha ini turut melibatkan pengoptimuman pelbagai potensi yang dimiliki universiti, termasuk melalui monetisasi aset universiti, pengembangan program latihan profesional, pengkomersialan hasil penyelidikan, aktiviti perundingan kepakaran akademik serta penglibatan syarikat milik universiti dan koperasi. Di samping itu, pengukuhan dana wakaf, endowmen serta sumbangan strategik turut menjadi antara pendekatan penting dalam menyokong kelestarian kewangan universiti dalam jangka panjang. Pada masa yang sama, universiti turut memberi perhatian kepada OS12 iaitu Memantapkan Tadbir Urus dan Kecekapan Pengurusan Kewangan Universiti yang memberi penekanan supaya sumber kewangan diurus secara cekap, telus dan bertanggungjawab. Bagi saya, keupayaan kewangan sesebuah universiti diukur melalui keseimbangan antara keupayaan menjana pendapatan dengan pengurusan perbelanjaan yang berdisiplin, cekap dan berintegriti. Tadbir urus kewangan yang cekap dan berintegriti juga akan meningkatkan keyakinan pihak luar untuk bekerjasama dengan universiti. Apabila sistem pengurusan kewangan dilaksanakan secara telus dan profesional, ia akan memberi kepercayaan kepada pelabur, pembekal serta penyedia perkhidmatan untuk menjalin kerjasama dengan UMK. Keyakinan ini membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik dan pada masa yang sama memperkukuh reputasi universiti sebagai institusi yang diyakini serta berdaya tadbir. Sehubungan dengan itu, Universiti menyasarkan peningkatan kecekapan perbelanjaan tahunan secara berperingkat, iaitu daripada 3% pada tahun 2026 dan 2027 kepada 4% pada tahun 2028 dan 2029, seterusnya mencapai 5% menjelang tahun 2030. Sasaran ini bertujuan memastikan setiap sumber kewangan universiti dimanfaatkan secara optimum melalui pengukuhan kawalan perbelanjaan, pemantapan pengurusan risiko kewangan serta pelaksanaan pemantauan yang lebih sistematik terhadap perbelanjaan operasi. Pada masa yang sama, pemodenan sistem pengurusan kewangan melalui penggunaan teknologi digital dan analitik data turut diberi keutamaan bagi mempercepat proses kerja, meningkatkan ketepatan data kewangan dan menyokong pembuatan keputusan yang lebih strategik dalam pengurusan sumber universiti. Perjalanan UMK sejak penubuhannya membuktikan bahawa sebuah institusi mampu berkembang melalui kebijaksanaan mengurus sumber yang terhad serta komitmen tinggi seluruh warganya. UMK kini semakin diyakini sebagai sebuah universiti yang berdaya saing. Dengan tadbir urus kewangan yang kukuh serta kesepaduan seluruh warga universiti, UMK diyakini akan terus melangkah dengan lebih berdaya tahan, memperkukuh kedudukannya dalam landskap pendidikan tinggi negara dan berdiri sepentas dengan universiti awam lain dalam merealisasikan aspirasi UMK30. Sekian, terima kasih. Ikhlas, |
Download File / URL
|
Additional Metadata
| Item Type: | Corporate Memory |
|---|---|
| Collection Type: | Naib Canselor |
| Date: | 16 March 2026 |
| Subject Heading: | Communication |
| Subject Heading: | Top management |
| Subject Heading: | Reflections |
| Subject Heading: | Vice Chancellor |
| Institution: | Universiti Malaysia Kelantan |
| URI: | http://discol.umk.edu.my/id/eprint/17454 |
| Statistic Details: | View Download Statistic |
