Citation
Arham Abdullah (2026) Lentera Hikmah Naib Canselor #54: UMK30 Teras 5: Governan dan bakat – Pengukuhan governan universiti dan pemerkasaan bakat. [Corporate Memory] |
Abstract
UMK30 TERAS 5: GOVERNAN DAN BAKAT – PENGUKUHAN GOVERNAN UNIVERSITI DAN PEMERKASAAN BAKAT Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. UMK kini berada pada tahap kematangan sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja menumpukan kepada pertumbuhan, malah memperkukuh asas yang menyokong kelangsungan dan daya tahan universiti untuk jangka masa panjang. Sehubungan dengan itu, agenda Pengukuhan Governan Universiti dan Pemerkasaan Bakat diberi penekanan sebagai teras penting dalam memastikan universiti terus bergerak secara progresif dan mampan. Sistem governan yang kukuh serta pembangunan bakat insan merupakan tunjang kepada keupayaan institusi mengurus tadbir secara telus, berkesan dan responsif terhadap perubahan, sekali gus memperkasa potensi warga universiti untuk menyumbang secara signifikan kepada kecemerlangan institusi, masyarakat dan negara Sering saya tegaskan bahawa pengukuhan governan serta pembangunan bakat insan merupakan agenda strategik yang berterusan dalam memastikan kelangsungan kecemerlangan universiti. Dalam kerangka ini, Teras 5 : Governan dan Bakat di bawah portfolio Pendaftar melalui Objektif Strategik 9 (OS9) memberi fokus kepada pengukuhan sistem pentadbiran universiti yang cekap, telus dan berintegriti, di samping melaksanakan pembangunan bakat secara terancang dan berterusan. Pendekatan ini bertujuan memperkasa keupayaan organisasi serta memastikan setiap staf UMK berpeluang untuk berkembang, menyumbang dan memainkan peranan dalam memacu kecemerlangan universiti. Usaha ini selari dengan aspirasi Lonjakan 5 : Tadbir Urus Tangkas dan Berdaya Tahan dalam RPTM yang menekankan kepentingan sistem tadbir urus yang responsif, fleksibel dan berakauntabiliti tinggi dalam menghadapi persekitaran global yang semakin kompleks. Dalam konteks ini, usaha pengukuhan governan di universiti perlu digerakkan melalui pendekatan yang "progressive-based", "decisive action" dan berfokus dalam pelaksanaannya. Pendekatan ini memerlukan komitmen yang berterusan untuk memperkemas dasar dan polisi institusi, memperkukuh pengurusan dokumen melalui pembangunan repositori digital berpusat, serta memperluas program kesedaran dan pemerkasaan governan dalam kalangan seluruh warga staf. Bagi saya, pengukuhan governan bukan hanya mampu memperbaiki sistem sedia ada, malah dapat memastikan universiti sentiasa bersedia untuk bergerak lebih proaktif, responsif dan berdaya tahan dalam berdepan dengan perubahan persekitaran global. Bagi menyokong aspirasi tersebut, KPI 15 menetapkan sasaran peratusan semakan polisi sedia ada yang dikemas kini bagi memperkukuh governan universiti, bermula dengan 20% pada tahun 2026 dan meningkat secara progresif sehingga mencapai 100% menjelang tahun 2030. Pendekatan berfasa ini dirangka bagi memastikan setiap dasar universiti disemak secara teliti dengan mengambil kira perkembangan semasa, keperluan perundangan serta pandangan pihak berkepentingan agar polisi yang dikemas kini kekal relevan dan berfungsi secara berkesan dalam menyokong tadbir urus universiti. Pada masa yang sama, Objektif Strategik 10 (OS10) memberi penekanan kepada usaha memperkasa staf akademik dan pentadbiran ke arah kecemerlangan selaras dengan aspirasi Lonjakan 2: Bakat Berprestasi Tinggi Dipacu Matlamat dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035. Lonjakan ini menumpukan kepada pembangunan komuniti akademik berprestasi tinggi yang digerakkan oleh tujuan dan impak yang jelas melalui pelbagai inisiatif, termasuk pelan penggantian kepimpinan, pembangunan kompetensi secara sistematik, penugasan strategik serta peluasan jaringan profesional di peringkat industri dan antarabangsa. Di bawah OS10, KPI 16 menilai peratusan pengisian jawatan utama daripada barisan kepimpinan yang berwibawa dan berprestasi tinggi dengan sasaran meningkat daripada 70% pada tahun 2026 kepada 90% menjelang tahun 2030. Sasaran ini memberi penekanan kepada usaha membangunkan barisan kepimpinan institusi yang berintegriti, kompeten dan berkeupayaan menerajui pembangunan universiti secara berkesan. KPI 17 pula memberi tumpuan kepada peratusan staf yang mencapai tahap kompetensi cemerlang dan berimpak tinggi dengan sasaran meningkat daripada 80% pada tahun 2026 kepada 90% bermula tahun 2028 dan berterusan sehingga 2030. Inisiatif ini menekankan pembangunan kompetensi warga universiti secara berterusan agar setiap staf mampu melaksanakan peranan dan tanggungjawab dengan lebih berkesan. Pada masa yang sama, KPI 18 mengukur peratusan staf yang menunjukkan sumbangan berimpak tinggi kepada universiti dengan sasaran meningkat daripada 80% pada tahun 2026 kepada 90% menjelang tahun 2028 hingga 2030. Penetapan sasaran ini bertujuan membudayakan prestasi tinggi dalam kalangan warga staf, di mana setiap individu digalakkan untuk menyumbang secara signifikan melalui kepakaran, inovasi dan peranan masing-masing dalam memperkukuh kecemerlangan universiti. Secara keseluruhannya, saya optimis bahawa pengukuhan governan dan pembangunan bakat merupakan dua komponen penting dalam kerangka UMK30 yang saling melengkapi bagi memastikan universiti terus bergerak secara kukuh dan berdaya saing. Besar harapan saya agar sistem governan UMK terus diperkasa dan bakat insan dibangunkan secara berterusan supaya universiti ini mampu menyesuaikan diri dengan perubahan serta menyumbang secara bermakna kepada masyarakat dan negara. Hakikatnya, kecemerlangan sesebuah institusi bertunjangkan sistem yang kukuh serta insan yang sentiasa berkembang seiring dengan perjalanan UMK. Sekian, terima kasih. Ikhlas, |
Download File / URL
|
Additional Metadata
| Item Type: | Corporate Memory |
|---|---|
| Collection Type: | Naib Canselor |
| Date: | 9 March 2026 |
| Subject Heading: | Communication |
| Subject Heading: | Top management |
| Subject Heading: | Reflections |
| Subject Heading: | Vice Chancellor |
| Institution: | Universiti Malaysia Kelantan |
| URI: | http://discol.umk.edu.my/id/eprint/17453 |
| Statistic Details: | View Download Statistic |
