Penyelidikan ini bertujuan untuk mengkaji warisan dan kesenian Melayu di dalam novel Juara hasil karya S. Othman Kelantan melalui Teori Sastera Budaya yang diasaskan oleh Muhammad Haji Salleh. Novel Juara yang berlatar belakangkan masyarakat Melayu di Kelantan memaparkan unsur politik, laga lembu dan nilai tradisional yang mencerminkan identiti dan warisan budaya Melayu. Analisis ini menggunakan teori puitika sastera Melayu Muhammad Haji Salleh yang menumpukan kepada ciri estetika seperti keindahan dalam pengajaran, penceritaan dan keaslian yang membina makna dalam teks (Salleh, 1985). Hasil kajian mendapati bahawa novel ini bukan sahaja memaparkan konflik politik dan sosial tetapi juga mengekalkan nilai budaya Melayu melalui simbolik dan budaya tradisional. Penyelidikan ini menyumbang kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang bagaimana karya sastera Melayu moden dapat dijadikan medium bagi warisan dan kesenian Melayu dalam konteks kontemporari.
Kata Kunci : Warisan Melayu, Kesenian Melayu, Novel Juara, Teori Sastera Budaya Muhammad Haji Salleh, Estetika Melayu