Kajian ini bertujuan untuk meneliti kepentingan lagu rakyat Terengganu, khususnya lagu "Watimang Landok", dalam membentuk dan memelihara identiti budaya masyarakat negeri Terengganu. Lagu ini, yang merupakan sebahagian daripada warisan lisan masyarakat Melayu Terengganu, sarat dengan nilai-nilai budaya dan simbolisme tempatan yang mencerminkan cara hidup, adat, serta jati diri masyarakatnya. Kajian ini memfokus kepada dua objektif utama iaitu pertama, menganalisis lirik lagu "Watimang Landok" untuk mengenal pasti elemen budaya dan identiti yang terkandung kedua, menilai peranan lagu ini dalam memupuk semangat kebudayaan dan jati diri rakyat Terengganu. Kajian ini menggunakan kaedah analisis teks terhadap lirik lagu serta disokong oleh sorotan kajian literatur dan sumber-sumber berkaitan. Hasil kajian mendapati bahawa lagu ini memainkan peranan penting dalam pemeliharaan warisan budaya dan pembentukan identiti tempatan, menjadikannya satu aset yang wajar didokumentasi dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Kata kunci: Lagu rakyat, Watimang Landok, identiti budaya, Terengganu, lirik, semangat kebudayaan