Syair merupakan salah satu genre sastera tradisional Melayu yang berfungsi sebagai medium penyampaian nilai, pemikiran dan panduan kehidupan masyarakat. Syair Puteri Akal memaparkan keperibadian wanita yang sarat dengan nilai keperibadian unggul dan budaya tinggi. Kajian ini dijalankan untuk meneliti nilai-nilai keperibadian wanita dalam Syair Puteri Akal sebagai lambang budaya tinggi berdasarkan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti ciri keperibadian wanita dalam Syair Puteri Akal berdasarkan nilai budaya tinggi Melayu, menganalisis nilai budaya tinggi yang terkandung dalam Syair Puteri Akal sejajar dengan prinsip-prinsip Dasar Kebudayaan Negara DAKEN 2021 serta menilai peranan keperibadian wanita dalam Syair Puteri Akal sebagai cerminan kekuatan bangsa. Metodologi kajian yang digunakan adalah pendekatan kualitatif menerusi analisis teks secara deskriptif dan interpretatif terhadap kandungan Syair Puteri Akal. Data kajian dianalisis dengan menumpukan kepada aspek nilai keperibadian seperti kebijaksanaan akal, kesantunan budi, keteguhan prinsip dan peranan wanita dalam kehidupan sosial dan budaya. Hasil kajian mendapati bahawa Syair Puteri Akal menggambarkan wanita sebagai insan berakhlak dan berwibawa serta berfungsi sebagai medium pendidikan budaya yang menzahirkan nilai budaya tinggi selaras dengan DAKEN 2021. Implikasi kajian ini menunjukkan bahawa warisan sastera klasik berpotensi dijadikan rujukan penting dalam pembinaan jati diri, pemerkasaan wanita dan pemeliharaan warisan budaya Melayu dalam konteks masyarakat kontemporari.
Kata kunci: Syair Puteri Akal, nilai keperibadian wanita, budaya tinggi, Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021, sastera Melayu.