Kajian ini bertujuan menganalisis aspek kepengarangan Mukhtar Mustafa dalam Kumpulan Cerpen Cahaya Dari Perabung dengan mengaplikasikan Teori Teksdealisme melalui prinsip pengukuhan, kehadiran dan individualisme bagi meneliti pemikiran, cara penyampaian idea serta mesej dalam cerpen-cerpen terpilih. Kajian ini menggunakan reka bentuk kualitatif dengan kaedah analisis dokumen, kepustakaan dan temu bual sebagai sumber utama pengumpulan data. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pengalaman hidup, latar belakang serta pengalaman pembacaan Mukhtar Mustafa memberi pengaruh yang signifikan terhadap pembentukan naratif, pemilihan tema dan pembangunan konflik. Pengarang banyak mengangkat isu kritikan sosial, politik dan kemasyarakatan melalui pendekatan satira sebagai medium sindiran terhadap realiti kehidupan masyarakat masa kini. Prinsip pengukuhan dalam Teori Teksdealisme membuktikan bahawa pengulangan konflik, simbol dan peristiwa berakar daripada realiti kehidupan pengarang berfungsi mengukuhkan tema dan mesej kepada pembaca. Selain itu, cerpen-cerpen beliau turut menegaskan kepentingan pemeliharaan identiti masyarakat, nilai budaya dan jati diri komuniti sebagai benteng terhadap tekanan pembangunan dan pengaruh luar. Implikasi kajian ini bukan sahaja memperkaya wacana kepengarangan dalam kesusasteraan Melayu kontemporari, malah memberi sumbangan kepada bidang pendidikan melalui potensi penggunaan cerpen ini sebagai bahan pengajaran yang mampu membentuk pemikiran kritis dan kesedaran sosial dalam kalangan pelajar, sekali gus membuktikan bahawa Teori Teksdealisme merupakan pendekatan yang berkesan dalam menganalisis hubungan antara kepengarangan dan pembentukan naratif dalam karya sastera Melayu.
Kata Kunci: Teksdealisme, Kepengarangan, Mukhtar Mustafa, Cerpen.