Seni anyaman tikar kercut merupakan warisan budaya Melayu yang mempunyai nilai simbolik yang signifikan dalam kehidupan masyarakat setempat. Namun, seiring dengan arus kemodenan, penglibatan generasi muda dalam penghasilan anyaman tikar kercut semakin berkurangan. Sehubungan itu, kajian ini dijalankan bagi memahami makna simbolik penghasilan anyaman tikar kercut dalam kalangan masyarakat di Bachok, Kelantan. Kajian ini mempunyai tiga objektif utama, iaitu untuk mengenal pasti jenis-jenis produk yang dihasilkan daripada daun kercut, mengkaji proses pembuatan produk anyaman kercut, serta menganalisis langkah-langkah pelestarian dalam pemuliharaan tikar kercut dalam kalangan masyarakat di Bachok, Kelantan. Pendekatan kualitatif melalui kaedah etnografi digunakan bagi mencapai objektif kajian dengan melibatkan kaedah pemerhatian dan temu bual secara bersemuka. Seramai lapan orang informan telah ditemu bual menggunakan teknik pensampelan bebola salji. Hasil kajian dianalisis menggunakan analisis tematik dan beberapa tema utama telah dikenal pasti, iaitu proses pembuatan tikar kercut, jenis produk yang dihasilkan daripada kercut, motif, corak dan warna kraftangan kercut, bahan dan peralatan yang digunakan, jangka masa pembuatan, kelebihan dan kelemahan tikar kercut, aspek pemasaran, permintaan pasaran, cabaran dalam penghasilan anyaman tikar kercut, serta usaha pelestarian tikar kercut. Kajian ini diharap dapat menyumbang kepada usaha pemeliharaan dan pelestarian warisan budaya Melayu serta menjadi rujukan kepada pengkaji pada masa hadapan.
Kata kunci: seni anyaman, tikar kercut, warisan budaya Melayu, simbolik, pemeliharaan.