Kajian ini mengkaji pelestarian dan transformasi kontemporari kesenian songket dalam budaya masyarakat Melayu di Jelebu, Negeri Sembilan yang merupakan warisan tekstil tradisional yang mana mempunyai nilai estetika dan simbolik yang tinggi, namun ia menghadapi pelbagai cabaran dalam era moden. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif iaitu temu bual dan pemerhatian lapangan di Galeri Tuanku Ja’afar dengan data dianalisis melalui analisis tematik. Dapatan menunjukkan tiga aspek transformasi utama iaitu perubahan motif daripada Bunga Tanjung kepada Bunga Lado yang melambangkan Rukun Islam dan identiti Negeri Sembilan, transformasi bahan dan teknik melalui kerjasama dengan Penjara Terengganu, serta perubahan fungsi daripada pakaian eksklusif untuk golongan bangsawan kepada produk yang boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat termasuk aksesori moden seperti beg tangan, selendang dan pin tudung. Tiga cabaran utama dikenal pasti iaitu kurangnya minat generasi muda, persaingan dengan produk import yang lebih murah terutamanya dari Pakistan, dan kekurangan sokongan institusi serta dana kerajaan. Strategi pelestarian yang dilaksanakan merangkumi pengekalan kualiti dan identiti motif Bunga Lado, inovasi produk yang menggabungkan tradisi dengan gaya kontemporari, dan promosi antarabangsa melalui pertunjukan fesyen serta liputan media akhbar. Kajian ini menggunakan Teori Perubahan Sosial sebagai kerangka analisis, dan menyimpulkan bahawa pelestarian songket memerlukan pendekatan holistik yang menggabungkan aspek budaya, ekonomi dan sosial, yang mana transformasi kontemporari perlu menyesuaikan warisan dengan kehendak semasa tanpa menjejaskan nilai dan identiti budaya masyarakat Melayu.
Kata kunci: Songket, pelestarian, transformasi kontemporari, Bunga Lado, warisan budaya, Negeri Sembilan