Pelancongan di Pulau Redang berkembang dengan pesat dan telah memberi kesan dan perubahan yang mempengaruhi kehidupan komuniti setempat. Kajian ini dilakukan bagi mengetahui bagaimana komuniti setempat di Pulau Redang melalui perubahan sosial yang berlaku, kesan terhadap sosio ekonomi dan strategi untuk memperkasakan komuniti setempat menjadi individu penting dalam industri pelancongan ini. Hasil dapatan daripada temu bual yang dilakukan menunjukkan bahawa sektor pelancongan telah membuka banyak peluang pekerjaan, meningkatkan taraf ekonomi dan menggalakkan komuniti untuk mempelajari kemahiran baharu untuk memperkasakan sektor pelancongan. Namun kesannya terhadap kos sara hidup, perubahan gaya hidup moden dan keperluan untuk memelihara identiti budaya sangat mencabar. Oleh itu, kajian yang dijalankan ini mencadangkan pelaksanaan pelancongan yang berasaskan komuniti yang kukuh, perancangan dan penyertaan penduduk lebih terbuka dan menyediakan latihan berterusan agar manfaat daripada pelancongan dapat dinikmati oleh masyarakat di Pulau Redang secara adil dan mampan.
Kata kunci: Pelancongan, Pulau Redang, komuniti setempat, sosio ekonomi, strategi.