Kajian ini menumpukan kepada perubahan fungsi rumah tradisional di Melaka yang merupakan Tapak Warisan Dunia, dengan kajian kes di Kampung Morten. Kajian ini memfokuskan kepada faktor-faktor yang mendorong perubahan fungsi rumah tradisional serta kesan perubahan tersebut terhadap struktur rumah dan hiasan dalaman akibat penyesuaian kepada keperluan industri pelancongan. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti faktor-faktor utama yang mendorong perubahan fungsi rumah tradisional di Kampung Morten, mengkaji kesan perubahan dalam struktur rumah dan hiasan dalaman akibat penyesuaian kepada keperluan industri pelancongan, serta mengenal pasti langkah-langkah pemuliharaan yang boleh dilakukan untuk mengekalkan identiti rumah tradisional di Kampung Morten. Kajian ini penting kerana dapat memberi kefahaman kepada masyarakat dan pihak berkepentingan mengenai cabaran pemeliharaan rumah tradisional dalam konteks pembangunan pelancongan warisan. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui kaedah temu bual, pemerhatian lapangan dan analisis dokumen. Hasil kajian mendapati bahawa perubahan fungsi rumah tradisional di Kampung Morten berlaku secara berhemah dan terkawal, dengan pemilik rumah masih mengekalkan elemen seni bina asal sebagai identiti warisan. Oleh itu, kajian ini membuktikan bahawa penyesuaian fungsi rumah tradisional boleh dilaksanakan secara lestari sekiranya disokong oleh usaha pemuliharaan yang berterusan dan penglibatan komuniti setempat.