Pelestarian Kacang Pool sebagai makanan warisan masyarakat Kempas, Johor Bahru merupakan satu usaha penting bagi memastikan kelangsungan identiti budaya tempatan. Kajian ini bertujuan menelusuri nilai warisan yang terkandung dalam penyediaan dan pengamalan hidangan Kacang Pool, yang menjadi simbol gastronomi masyarakat setempat. Pendekatan kualitatif digunakan melalui temu bual bersama penduduk tempatan, pemerhatian, dan dokumentasi sejarah makanan ini bagi mengenal pasti peranan Kacang Pool dalam pembentukan identiti komuniti. Hasil kajian menunjukkan bahawa Kacang Pool bukan sahaja berperanan sebagai hidangan harian, tetapi juga membawa nilai simbolik yang menghubungkan generasi lama dan baharu. Kajian ini merangkumi tiga objektif utama: memahami makna simbolik Kacang Pool dalam pembentukan identiti masyarakat, menilai persepsi dan tahap penerimaannya sebagai makanan warisan, serta menganalisis langkah-langkah pelestariannya. Pelestarian makanan ini dianggap penting bukan sahaja dari aspek pemakanan, tetapi juga untuk memelihara warisan budaya yang semakin terhakis oleh arus pemodenan dan globalisasi. Kajian ini mencadangkan agar usaha pemeliharaan seperti dokumentasi resipi asal, penglibatan generasi muda, serta sokongan komuniti dan pihak berkuasa tempatan dipertingkatkan bagi memastikan makanan warisan ini terus dihargai dan dikekalkan untuk generasi akan datang.