Tujuan kajian ini adalah untuk menganalisis kumpulan latar yang terdapat dalam novel Rimba Harapan karya Sasterawan Negara Keris Mas. Latar masa, latar masyarakat serta latar tempat termasuk dalam kumpulan latar ini. Kajian ini menggunakan pendekatan formalistik sebagai kerangka analisis utama. Fokus kajian ini adalah untuk mengkaji peranan serta fungsi latar sebagai elemen dalaman utama yang membantu untuk membentuk struktur, tema dan makna teks secara keseluruhan tanpa mengira faktor luaran pengarang atau konteks sejarah. Kajian ini dijalankan dengan metodologi kualitatif yang melibatkan analisis teks yang melihat sama ada petikan tertentu mempunyai kaitan atau pertalian dengan elemen latar tersebut. Kajian ini menunjukkan bahawa latar masa yang berfokus pada era penjajahan British, latar tempat di kawasan pedalaman Pahang dan latar masyarakat Melayu luar bandar yang bergelut dengan kemiskinan, penindasan serta perubahan sosial. Gugusan latar ini membantu mengukuhkan tema harapan dan perjuangan. Ia juga menunjukkan bahawa pengarang boleh menggunakan latar ini sebagai medium penceritaan yang berkesan. Kajian ini menyimpulkan bahawa latar memainkan peranan penting dalam menggabungkan struktur teks dan membantu pembaca untuk memahami lebih baik nilai dan makna novel Rimba Harapan.
Kata kunci: Gugusan latar, latar masa, latar masyarakat, latar tempat, Keris Mas, Rimba Harapan, pendekatan formalistik.