Kajian ini dijalankan bertujuan untuk menilai tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan bangunan warisan di Taiping, Perak. Skop kajian melibatkan penduduk yang menetap di Kampung Jambu dan Simpang, Taiping. Penyelidikan ini menggunakan pendekatan kuantitatif melalui kaedah soal selidik yang diedarkan secara dalam talian menggunakan Google Form. Data yang diperoleh melalui kaedah ini dianalisis dan dirumuskan secara sistematik bagi mencapai objektif kajian yang telah ditetapkan. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap pengetahuan masyarakat terhadap pemeliharaan bangunan warisan berada pada tahap sederhana. Sehubungan itu, kajian ini diharapkan dapat menjadi rujukan dan panduan kepada pihak berkuasa serta pihak berkepentingan dalam merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif yang lebih berkesan demi memastikan kelestarian bangunan warisan terus terpelihara.