Hukum sogit merupakan salah satu bentuk warisan budaya tidak ketara yang penting dalam masyarakat Kadazan Dusun, khususnya suku Dusun Kimaragang di Kota Marudu, Sabah. Amalan adat ini berfungsi sebagai mekanisme kawalan sosial, penyelesaian konflik dan pemeliharaan keharmonian komuniti. Namun, perubahan sosial dan pemodenan telah menimbulkan cabaran terhadap kelestarian amalan sogit, terutamanya apabila pengetahuan dan kefahaman generasi muda terhadap adat ini semakin berkurangan, sekali gus berpotensi menyebabkan amalan ini terpinggir atau disalah tafsir. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti amalan sogit yang masih diamalkan, meneliti kepentingannya terhadap individu dan komuniti, serta menganalisis mekanisme yang menyokong kelangsungan hukum sogit dalam masyarakat Dusun Kimaragang. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui reka bentuk kajian kes. Data dikumpulkan melalui temu bual separa berstruktur dan pemerhatian secara langsung melibatkan sembilan orang informan yang dipilih menggunakan teknik pensampelan bebola salji, dan dianalisis menggunakan analisis tematik. Dapatan kajian mengenal pasti lapan tema utama, iaitu konsep sogit, jenis dan kes sogit, peranan orang tua adat, peranan sistem perundangan adat melalui Mahkamah Anak Negeri, kebaikan sogit, cabaran pelaksanaan sogit, perubahan dalam amalan sogit, serta aspek kelestarian hukum sogit. Kajian mendapati bahawa hukum sogit masih berfungsi sebagai mekanisme penyelesaian konflik dan kawalan sosial, namun telah mengalami perubahan daripada denda berasaskan korban haiwan kepada penilaian berasaskan wang. Kelangsungan amalan sogit bergantung kepada peranan orang tua adat, institusi adat dan penglibatan aktif komuniti, manakala cabaran utama melibatkan pengaruh agama, pemodenan dan kurangnya pengetahuan generasi muda. Secara keseluruhan, kajian ini menegaskan bahawa hukum sogit masih relevan, namun memerlukan usaha bersepadu bagi memastikan kelestariannya sebagai warisan budaya masyarakat Dusun Kimaragang.
Kata Kunci: Hukum Sogit, Kelestarian Adat, Warisan Budaya Tidak Ketara, Dusun Kimaragang