Pelbagai bahasa digunakan dalam komunikasi masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Salah satu bahasa yang digunakan dalam komunikasi harian ialah Bahasa Jawa. Kajian ini dijalankan bagi meneliti faktor-faktor yang menyumbang kepada kekurangan penggunaan dialek Jawa dalam komunikasi Masyarakat Jawa Kampung Parit Sedayu-2, Batu Pahat, Johor. Kajian ini mengandungi tiga objektif: mengenal pasti faktor-faktor yang menyebabkan pengurangan penggunaan Bahasa Jawa dalam kalangan Masyarakat Jawa di Kampung Parit Sedayu-2, Batu Pahat Johor; mengkaji pengaruh bahasa-bahasa lain yang digunakan dalam komunikasi Masyarakat Jawa di Kampung Parit Sedayu-2, Batu Pahat, Johor; dan menganalisis tahap penguasaan Bahasa Jawa dalam kalangan Masyarakat Jawa di Kampung Parit Sedayu-2, Batu Pahat, Johor. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif iaitu menggunakan kaedah temu bual berstruktur. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pengurangan penggunaan Bahasa Jawa dipengaruhi oleh beberapa faktor utama seperti Bahasa Jawa tidak dijadikan sebagai bahasa perantaraan, perkahwinan campur, pengaruh pendidikan dan sekolah, persekitaran sosial dan pekerjaan, serta pengaruh media dan teknologi. Kajian ini menjangkakan bahawa penggunaan Bahasa Jawa akan terus merosot sekiranya tiada usaha pemeliharaan. Oleh itu, pengukuhan penggunaan Bahasa Jawa sangat penting bagi memastikan kelangsungan bahasa warisan ini.
Kata kunci: Dialek Jawa, komunikasi, Masyarakat Jawa, Kampung Parit Sedayu-2, kualitatif, temu bual berstruktur.