Penyesuaigunaan semula bangunan warisan semakin mendapat perhatian dalam usaha melestarikan nilai sejarah dan budaya pada masa kini. Seterusnya, penelitian terhadap kesan penyesuaigunaan semula bangunan Balai Polis Lama di Jugra kepada fungsi yang baharu kepada Muzium Insitu Jugra di Banting, Selangor telahpun dijalankan dalam kajian ini. Penyesuaigunaan semula merupakan satu pendekatan pemuliharaan adaptif yang mengekalkan nilai sejarah dan seni bina asal bangunan sambil memberikan fungsi baharu yang relevan dengan keperluan semasa. Oleh yang demikian, fokus utama kajian ini adalah untuk mengenal pasti elemen seni bina dan reka bentuk yang masih dikekalkan walaupun setelah melakukan proses konservasi terhadap bangunan warisan, seterusnya, adalah untuk menilai persepsi dan pandangan masyarakat setempat kepada penyesuaian penggunaan semula bangunan Balai Polis Lama kepada fungsi yang baharu dan untuk mengenal pasti cabaran serta langkah pemuliharaan yang digunakan untuk mengekalkan kelestarian bangunan warisan tersebut. Kajian ini menggunakan pendekatan campuran (mixed method) iaitu gabungan kaedah kuantitatif iaitu melalui borang soal selidik, manakala kaedah kualitatif iaitu melalui pemerhatian dan temubual yang membolehkan pengkaji mendapatkan maklumat dengan lebih tepat.
Kata kunci: Penyesuaigunaan semula, bangunan warisan, muzium, seni bina, konservasi, fungsi, komuniti