Kajian ini bertujuan untuk memahami dan menghuraikan nilai kesantunan Melayu yang terserlah melalui fungsi serta susun atur setiap ruangan dalam Rumah Limas Johor, dengan mengambil Derah Muar sebagai lokasi kajian kes utama. Tiga objektif utama kajian ini ialah mengenal pasti keistimewaan ruang, menganalisis nilai kesantunan dalam kehidupan seharian, dan mengkaji kesinambungan penggunaan nilai tersebut. Kajian menggunakan pendekatan penyelidikan campuran iaitu kualitatif melalui temu bual dan pemerhatian, serta kuantitatif menerusi soal selidik berbentuk borang senarai semak bagi menghasilkan dapatan yang sahih dan menyeluruh. Hasil kajian menjangkakan setiap ruang bukan sahaja berfungsi secara fizikal, tetapi juga sebagai wahana penyampaian nilai kesantunan, sekali gus menyerlahkan hubungan erat antara budaya dan ruang binaan. Kesimpulannya, Rumah Limas Johor terbukti sebagai medium penting dalam pemeliharaan identiti Melayu dan nilai warisan yang wajar dimartabatkan dalam permodenan semasa.
Kata kunci: Rumah Limas Johor, kesantunan melayu, ruang tradisional, seni bina tradisional, seni bina rumah warisan Johor, susun atur ruang beretika, ruang sebagai ekspresi kesantunan, Daerah Muar.