Budaya material merupakan salah satu instrumen kebudayaan yang penting dalam adat perpatih. Budaya material merujuk kepada objek yang memberi makna dan simbolik serta menerangkan tentang beberapa aspek bukan lisan dalam upacara-upacara yang dilakukan dalam adat perpatih. Namun, penggunaan budaya material dalam adat perpatih berada pada tahap yang membimbangkan dan banyak maklumat berkaitan adat perpatih sukar diperolehi kerana ianya diturunkan secara lisan. Oleh yang demikian, kajian ini dijalankan untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai makna dan simbolik budaya material adat perpatih dalam upacara perkahwinan adat di Negeri Sembilan. Tiga objektif utama bagi kajian ini adalah: mengenal pasti budaya material yang digunakan dalam upacara perkahwinan adat, mengkaji kepentingan budaya material adat perpatih dalam upacara perkahwinan dan menganalisis langkah-langkah pelestarian ilmu mengenai budaya material adat perpatih dalam kalangan masyarakat adat di Negeri Sembilan. Pendekatan kualitatif melalui etnografi digunakan dalam mencapai ketiga-tiga objektif kajian dengan menemu bual secara mendalam dan menjalankan pemerhatian secara langsung sebagai kaedah kajian. Tujuh orang informan telah ditemu bual menggunakan teknik pensampelan bebola salji. Terdapat beberapa tema yang diekstrak melalui analisis tematik hasil daripada dapatan kajian iaitu: adat perpatih, perspektif masyarakat terhadap adat perpatih, adat perpatih dan agama Islam, peraturan adat, proses perkahwinan, material budaya dalam perkahwinan adat perpatih, dan pelestarian adat perpatih. Oleh itu, kajian ini menyumbang kepada pendokumentasian mengenai makna dan simbolik budaya material adat perpatih dan seterusnya melestarikan adat perpatih untuk generasi akan datang.
Kata kunci: adat perpatih, budaya material, makna, pelestarian, simbolik