Kuih Tiga Beradik merupakan makanan warisan di bawah warisan kebudayaan tidak ketara masyarakat Kampung Parit Tengah, Pekan, Pahang. Kuih Tiga Beradik kebiasaannya dimasak secara merewang kerana mempunyai tiga jenis kuih yang berbeza dan dimasak dalam kuantiti yang banyak terutamanya pada bulan Ramadan. Namun, tradisi memasak secara beramai-ramai dan lambakan kuih-muih terkini menyebabkan kebanyakan kuih warisan. Oleh itu, kajian ini dijalankan memahami kepentingan kuih tiga beradik dan langkah-langkah pelestarian yang perlu dijalankan oleh masyarakat di Kampung Parit Tengah, Pekan, Pahang. Kajian ini mempunyai tiga objektif utama iaitu mengenal pasti makna simbolik Kuih Tiga Beradik, mengkaji proses penyediaan Kuih Tiga Beradik dan menganalisis langkah-langkah pelestarian makanan warisan Kuih Tiga Beradik dalam kalangan masyarakat di Kampung Parit Tengah, Pekan, Pahang. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif melalui kajian kes dan kaedah kajian yang digunakan adalah temu bual dan pemerhatian secara langsung. Sembilan informan telah menyertai kajian ini melalui pendekatan teknik pensampelan bebola salji. Kesemua data telah dianalisis menggunakan Teknik analisis tematik dan beberapa tema telah diekstrak daripada hasil analisis dapatan kajian seperti: latar belakang Kuih Tiga Beradik, cara pembuatan, makna dan persepsi masyarakat terhadap Kuih Tiga Beradik, perubahan pembuatan Kuih Tiga Beradik pada masa kini, pemasaran Kuih Tiga Beradik,cabaran Kuih Tiga Beradik pada masa kini dan langkah-langkah melestarikan Kuih Tiga Beradik. Kesimpulannya, kajian ini menyumbang kepada pendokumentasian makanan warisan dan seterusnya melestarikan makanan warisan untuk menambah pengetahuan generasi akan datang.
Kata Kunci: Kuih Tiga Beradik, Makanan Warisan, Pelestarian, Warisan Kebudayaan Tidak Ketara, Makanan Warisan Pahang