Jebak Puyuh merupakan salah satu warisan kebudayaan ketara yang mempunyai nilai simbolik dalam kalangan masyarakat Kampung Bunohan, Tumpat, Kelantan. Jebak puyuh digunakan untuk memerangkap burung dan mempunyai nilai estetika yang tersendiri melalui reka bentuknya. Walau bagaimanapun, kepentingan dan nilai sejarah Jebak Puyuh semakin kurang mendapat perhatian, terutama dalam kalangan generasi muda. Kajian saintifik mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan pembuatan Jebak Puyuh juga kurang diterokai kerana kebanyakan masyarakat setempat tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai proses pembuatan dan kepentingan warisannya. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk memahami makna simbolik dan nilai Jebak Puyuh sebagai salah satu produk kearifan tempatan. Tiga objektif utama dibentuk untuk mencapai tujuan kajian iaitu: mengenal pasti makna simbolik reka bentuk Jebak Puyuh, mengkaji cara pembuatannya dan menganalisis langkah-langkah pelestarian yang relevan untuk memastikan kelangsungan warisan Jebak Puyuh. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dengan mengumpulkan data melalui temu bual dan pemerhatian. Seramai enam orang informan terlibat dalam kajian ini dan kesemua data yang diperoleh dianalisis menggunakan kaedah tematik untuk mengenal pasti pola-pola utama dalam kajian. Terdapat beberapa tema utama hasil analisis data kajian iaitu sejarah dan makna simbolik reka bentuk Jebak Puyuh, bahan yang digunakan dalam pembuatan, proses serta teknik pembuatan, faktor pengurangan minat terhadap pembuatan Jebak Puyuh, cara ilmu diwarisi dalam kalangan masyarakat, pihak yang bertanggungjawab dalam usaha pemuliharaan, serta kesan pemuliharaan terhadap kelangsungan Jebak Puyuh sebagai warisan budaya. Oleh itu, kajian ini menyumbang kepada pendokumentasian dan kelangsungan warisan Jebak Puyuh untuk rujukan masyarakat setempat, dan pihak berkepentingan pada masa akan datang.
Kata kunci: jebak puyuh, kearifan tempatan, pembuatan, pemuliharaan, pengekalan, warisan kebudayaan ketara